“Dia tak pernah tinggal solat walaupun sakit…” – Mata separa buta, bekas juara tilawah hanya mampu peluk al-Quran

Kebolehan seseorang manusia untuk melihat dengan menggunakan kedua-dua mata adalah salah satu nikmat yang dikurniakan oleh Allah. Namun, ada sesetengah yang diuji dengan keadaan mata yang tidak sempurna mahupun buta.

Muhammad Azwar Mohd Ariff, 12, disahkan menghidap kanser otak pada Oktober tahun lalu. Keadaan ini membuatkan fungsi matanya merudum, terutama mata di sebelah kirinya.

Paling memilukan, Azwar yang merupakan bekas juara Tilawah al-Quran Peringkat Negeri Kedah mengharapkan agar matanya kembali sembuh supaya dia dapat membaca al-Quran seperti biasa.

Mahu baca al-Quran seperti biasa

Menurut ibu Azwar, Che Anisah Md Saad, 43, penyakit yang dialaminya menyebabkan tahap penglihatan anaknya itu kabur selain pergerakannya lemah dan terhad.

“Azwar berharap matanya kembali pulih untuk membaca al-Quran. Azwar juga teringin untuk ke Makkah apabila sihat seperti sediakala.”

Surah2 yang dihafal tidak lekang daripada bibirnya

Tambahnya, kanser Azwar masih di peringkat permulaan, dan doktor memaklumkan ketumbuhannya kian membesar sepanjang 8 sentimeter. Anisah berkata, anak ketiga daripada lima beradik itu kini hanya mampu memeluk al-Quran.

“Penglihatannya yang kabur menghalang dia membaca al-Quran. Azwar hanya mengalunkan surah-surah yang telah dihafal ketika sihat. Dia juga tidak dapat ke sekolah lagi.”

Tak pernah tinggal solat walaupun sakit

Katanya, dalam keadaan lemah, Azwar tetap bersolat seperti biasa dan tidak pernah meninggalkan tuntutan wajib itu. Azwar hanya mampu berdiri pada rakaat pertama, lantas dia akan duduk kerana menghadapi masalah sakit belakang.

“Dia telah jalani pembedahan otak pada 23 Oktober tahun lalu. Doktor hanya membuang cecair dan mengambil sampel kanser. Pada Jun ini, Azwar akan jalani MRI, daripada situ tahap kansernya dapat diketahui.”

Sumber: GPSBestari, BeritaHarian

Komen

  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here