Rakan dedah Adam mula lumpuh sebelum Ramadan, mahu bahagiakan ibu bapa

Pemergian chef selebriti, Adamdidam sudah tentu meninggalkan kesan mendalam kepada rakan baiknya yang telah menjalinkan ukhuwah sejak 12 tahun lalu.

Menerusi laporan mStar Online, sahabatnya Izat sudah mengetahui keadaan kesihatan Adam namun tidak menyangka Allahyarham dijemput Ilahi pada pagi tadi akibat jangkitan paru-paru.

“Kali terakhir kami bertemu pada 2 Mei lalu selepas saya dan dua lagi sahabat baik kami dihubungi oleh kakak Adam..

“…untuk datang menziarahi beliau memandangkan keadaan kesihatannya semakin kritikal,” katanya.

Arwah berusia 29 tahun itu sering mengingatkan Izat dan sahabatnya agar tidak risau mengenai dirinya serta masih berharap akan pulih sepenuhnya daripada penyakit berkenaan.

Tambah Izat, walaupun dalam keadaan lemah terbaring namun arwah sempat meluahkan perasaan gembira apabila dapat berkesempatan untuk bertemu rakan-rakannya.

Menerusi aplikasi WhatsApp, Adam juga ada memberitahu bahawa keadaan tubuhnya sudah lumpuh separuh badan dan pergerakannya semakin terbatas dimana hanya mampu menggerakkan jari bagi menaip mesej.

“Saya gembira kerana berpeluang menemui beliau di rumah ibu bapanya empat hari sebelum Ramadan lalu. Namun agak terkilan kerana tidak dapat pulang ke Kelantan untuk ziarah jenazah.

“Terlalu banyak kenangan antara kami sehingga saya tidak dapat senaraikan satu-persatu tentang kebaikannya,” ujarnya.

Izat turut mendedahkan bahawa arwah sering mengutamakan dan membahagiakan kedua orang tuanya dalam apa jua perkara sebelum mengambil kira soal jodoh.

“Saya pernah mengusik Adam, tanya dia bila nak kahwin dan bila nak cari teman wanita?

“Tetapi, dia kata dia nak bahagiakan ibu bapanya dahulu sebelum mendirikan rumah tangga,” katanya.

Sumber : mStar Online

Komen

  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here