Tulang bengkok sejak lahir, lelaki terpaksa pakai besi pada kepala & badan

Hospital sudah menjadi rumah kedua buat pesakit tulang belakang bengkok (neurofibromatosis), Ahmad Syuib Shahimi sejak Oktober tahun lalu.

Lelaki berusia 36 tahun itu perlu memakai besi pada bahagian kepala dan badan serta terpaksa berhenti kerja bagi memberi perhatian sepenuhnya terhadap rawatan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Petaling Jaya.

Menurut Ahmad Syuib, penyakit genetik yang dihadapi sejak lahir itu menjadi semakin serius selepas terlibat dalam kemalangan jalan raya selain terjatuh di bilik air pada Mei tahun lalu.

“Ikutkan, saya mempunyai masalah tulang belakang bengkok sejak kecil lagi tetapi tiada masalah untuk bekerja atau melakukan rutin harian sehingga penyakit itu menjadi serius tahun lalu.
“Bukan mudah untuk menerima hakikat itu dan saya mengambil masa selama dua hingga tiga bulan untuk menyesuaikan diri dengan keadaan sekarang.
“Keluarga banyak memberi sokongan dan tanpa mereka, belum tentu saya kuat untuk menanggung ujian ini kerana penyakit berkenaan memaksa saya menghabiskan kebanyakan masa di wad hospital berbanding di rumah,” katanya.

Anak sulung daripada tiga beradik itu juga perlu menjalani pembedahan yang menelan belanja sebanyak RM61,000 namun bersyukur apabila ramai tampil menghulurkan bantuan.

“Alhamdulillah, hasil bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan sumbangan orang ramai, saya dapat menjalani pembedahan esok (hari ini) walaupun ia sepatutnya dijalankan seminggu lebih awal.
“Memang gementar, apatah lagi selepas doktor beritahu kemungkinan yang akan berlaku iaitu lumpuh dan jangkitan kuman tetapi saya hanya mampu berdoa dan berserah kepada Allah SWT,” ujarnya.

Sumber : Ahmad Syuib , HM Online

Komen

  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here